Tuesday 10 April 2012

Berita Harian Online | Sokongan Kaum Cina Kepada BN Meningkat

Datuk Seri Najib Razak ditemubual pengacara rancangan ‘Chat Time With...Najib’, Owen Yap (kiri) dan Lee Siad Huey ketika siaran langsung di Studio NTV7 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, meskipun sokongan yang diterima Barisan Nasional (BN) daripada masyarakat Cina masih rendah, ia tetap menunjukkan peningkatan yang memuaskan.

Perdana Menteri berkata, menerusi pelbagai usaha mendekati masyarakat yang dilaksanakan, sejak tiga tahun lalu, kepercayaan masyarakat Cina terhadap BN sebenarnya semakin meningkat dan bertambah baik. “Namun secara realiti masih ada kelompok yang agak ramai yang selalu disebut sebagai golongan atas pagar yang masih belum membuat keputusan (untuk memilih BN) dan sebab itu kita perlu melihat bagaimana kecenderungan mereka ketika pilihan raya.

“Walaupun ia masih rendah, tetapi aliran adalah ke arah peningkatan, saya percaya jika proses ‘engagement’ dijalankan berterusan dan pelaksanaan program kita dapat dirasai oleh sebahagian besar masyarakat, peratus itu boleh terus meningkat,” katanya ketika ditemuramah secara langsung pada program bual bicara berbahasa Mandarin ‘Chat Time With... Najib’ di NTV7, malam tadi.

Program bual bicara selama satu setengah jam yang dikendalikan dua pengacara, Owen Yap dan Lee Siad Huey antara lain turut mengulas perkembangan dan pencapaian Najib selama tiga tahun memimpin negara khususnya dalam isu membabitkan masyarakat Cina di negara ini.

Najib berkata, dalam pada itu kerajaan juga terus berusaha memastikan perkembangan sistem pendidikan vernakular khususnya membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina terus diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan termasuk mengatasi kekurangan guru di sekolah itu dan isu mendapatkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh sekolah persendirian Cina.
Katanya, dalam konteks menerima kelayakan UEC itu, ada dua perkara pokok yang perlu dibincangkan terlebih dulu, iaitu mengenai kandungan kurikulum yang ada dalam peperiksaan berkenaan dan adakah melaluinya akan menjadikan pelajar lebih berjiwa Malaysia khususnya dalam konteks mahir dan fasih berbahasa Melayu.

Menjawab soalan mengenai dua parti komponen BN, iaitu MCA dan GERAKAN yang kini dilihat kurang menyerlah, Perdana Menteri berkata, perkara itu sebenarnya tidak ada kerana semua parti komponen memainkan peranan masing-masing.

Beliau berkata, persepsi itu berlaku disebabkan kurangnya bilangan kerusi yang diwakili parti berkenaan dalam kerajaan berbanding sebelum ini.

Najib turut mengulas beberapa isu lain yang menjadi persoalan orang ramai antaranya projek kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan; perkembangan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) termasuk 22 usul Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya yang diterima Parlimen serta tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) mengadakan bantahan aman kali ketiga - Berita Harian Online | Sokongan kaum Cina kepada BN meningkat 

No comments:

Post a Comment