Sunday 1 July 2012

Senarai Institut Pengajian Tinggi yang terdapat di Kuala Terengganu

  1. Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kuala Terengganu
  2. Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UNISZA)
  3. Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  4. Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail
  5. Institut Teknologi Petronas (INSTEP)
  6. Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak
  7. Institut Perikanan Malaysia
  8. Kolej Teknologi COSMOPOINT
  9. Kolej PTPL Kuala Terengganu
  10. Kolej Komuniti Terengganu
  11. Politeknik Kota

Motivasi.

Mengesahkan seorang ibu membesarkan anak disamping memberi dorongan serta mendidik anak-anak tentang  impian, matlamat dan juga inspirasi untuk mereka berjaya.

Monday 4 June 2012

Jasamu Dikenang

Menggamit kenangan, dimana pada tanggal 30 Mei 2012, En Sapian Dhabal membuat "Punch Card" kali terakhir sebagai Pegawai Penerangan Dearah Kuala Terengganu.

Kami dari warga Jabatan Penerangan mengucapkan selamat bertugas di tempat baru iaitu di Kolej Komuniti Selandar, Melaka yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2012. Diharapkan En Sapian Dhabal dapat menjalankan tugas disana serta terus dikurniakan keberkatan kejayaan di dunia dan di akhirat.. 

Tuan Puteri Pergi Ke Rasah,
Pulang Semula Sebelah Pagi;
Kita Bertemu Akhirnya Berpisah,
Diizin Tuhan Bersua Lagi.

Pohon Selasih Di Dalam Kolam,
Anak Haruan Berenang-Renang;
Terima Kasih Kami Ucapkan,
Budi Tuan Menjadi Kenangan.
 
Keropok Lekor Idaman Pelanggan,
Cencalok Botol Buah Kuini;
Daerah Kuala Terenggnu Tinggal Kenangan,
Kampung Selandar Tempat Terkini.

Tuesday 24 April 2012

Program Penghayatan 1Malaysia; Komuniti 1Malaysia Batu Rakit Meriah

20 dan 21 April 2012 yang lepas telah berlangsungnya Program Sepakat Komuniti 1Malaysia yang diadakan di Pantai Rekriasi Batu Rakit dimana pelbagai program dan aturcara di adakan bagi menarik pengunjung untuk hadir. Program yang diadakan pada 20 April adalah Forum Rakyat yang membincangkan mengenai "Transformasi Ummah: Kearah Melakar Kejayaan" bertempat di perkarangan Balai Polis Batu Rakit. Antara Panel yang terlibat adalah Ust Kamarudin bin Omar, Pegawai Khas Pej. Menteri Besar Terengganu dan Ust Abdul Halim bin Awang Bekas Timbalan Mufti Terenggan serta Moderator untuk forum adalah Ust Haji Mohd Ariffin bin Jusoh Pegawai Hal Ehwal Agama Daerah Kuala Terengganu.


Pada 21 April pelbagai aturcara telah berlangsung antaranya Senamrobik, Pertandingan Mewarna bagi kanak-kanak, Pameran, Touch-point Rakyat, Pertandingan Memancing, Tarik Tali, Bola Sepak Pantai, cabutan bertuah dan lain-lain.
 
 

Dari Petikan Sinar Harian: Komuniti 1Malaysia (K1M) akan di tambah dari masa ke masa bagi mencapai sasaran kerajaan yang mahukan 2000 buah komuniti di daftarkan di negara ini. Pegawai Penerangan Daerah Kuala Terengganu En Sapian berkata di Terengganu mempunyai 85 buah K1M dan 24 daripadanya  adalah dari Daerah Kuala Terengganu. Hadir bersama Semasa program ini berjalan Pengerusi Jawatakuasa Agama dan Penerangan Negeri merangkap ADUN Batu Rakit YB Ust. Hj. Khazan bin Che Mat, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pn. Azizah Awang Agensi kerajaan dan penduduk sekitar. terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan bagi menarik penduduk untuk memahami konsep Gagasan 1Malaysia.

Sunday 15 April 2012

Adakah Ini Cara Pelajar Siswazah IPT Untuk Selesaikan Isu PTPTN?

Kelmarin (14 April) telah berlakunya demonstrasi yang dilakukan oleh pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk menegaskan agar PTPTN dimansuhkan. Walaupun cara pengurusan PTPTN selama ini dikatakan membebankan ramai pelajar tapi secara umumnya PTPTN cuba membantu pelajar dari segi kewangan untuk memudahkan mahasiswa/i untuk belajar. Tetapi adakah dengan berdemonstrasi dan juga upacara meletakan kalung pada gambar Perdana Menteri dan juga Menteri Pengajian Tinggi adalah satu cara yang bijak? Adakah ini cara seorang mahasiswa/i di universiti untuk selesaikan masalah? Selain itu, dikatakan lebih dari 300 orang mahasiswa/i yang berdemo kelmarin ingin berkhemah di sekitar SOGO serta Masjid Jamek sehingga BERSIH 3.0 diadakan. Adakah ini tindakan yang bernas kerana sesi kuliah bagi pelajar di IPT masih lagi belum berakhir. Adakah mereka ingin membazir masa untuk berkhemah di tepi jalan sehingga BERSIH 3.0 diadakan? Bagaimana dengan sesi pembelajaran mereka di kuliah?

 
 
 
Terdapat persoalan, kenapa sesetengah pelajar yang membuat pinjaman PTPTN itu tidak mampu untuk membuat bayar  balik? Adakah kerana mereka terlalu memilih sesuatu pekerjaan? Seandainya PTPTN dimansuhkan, bagaimana mahasiswa/i membiayai pembelajaran mereka? Sekiranya keluarga mereka orang berada, sememang nya mereka mendapat bantuan kewangan dari keluarga mereka. Tetepi bagi mereka yang tidak berkemampuan, dimanakah sumber mereka?

p/s: Kenapa mereka nak mansuh sangat PTPTN?  Sila rujuk ustaz yang arif dalam bab hukum agama. Apakah hukumnya kalau tak bayar hutang?

Tuesday 10 April 2012

Cuti Umum Hari Pertabalan DYMM Yang di-Pertuan Agong

Sukacita dimaklumkan bahawa 11 APRIL 2012 (RABU) adalah Cuti Umum bersempena dengan Hari Pertabalan DYMM Yang di-Pertuan Agong yang ke-14. Untuk rujukan sila layari Portal www.kabinet.gov.my.

Berita Harian Online | Sokongan Kaum Cina Kepada BN Meningkat

Datuk Seri Najib Razak ditemubual pengacara rancangan ‘Chat Time With...Najib’, Owen Yap (kiri) dan Lee Siad Huey ketika siaran langsung di Studio NTV7 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, meskipun sokongan yang diterima Barisan Nasional (BN) daripada masyarakat Cina masih rendah, ia tetap menunjukkan peningkatan yang memuaskan.

Perdana Menteri berkata, menerusi pelbagai usaha mendekati masyarakat yang dilaksanakan, sejak tiga tahun lalu, kepercayaan masyarakat Cina terhadap BN sebenarnya semakin meningkat dan bertambah baik. “Namun secara realiti masih ada kelompok yang agak ramai yang selalu disebut sebagai golongan atas pagar yang masih belum membuat keputusan (untuk memilih BN) dan sebab itu kita perlu melihat bagaimana kecenderungan mereka ketika pilihan raya.

“Walaupun ia masih rendah, tetapi aliran adalah ke arah peningkatan, saya percaya jika proses ‘engagement’ dijalankan berterusan dan pelaksanaan program kita dapat dirasai oleh sebahagian besar masyarakat, peratus itu boleh terus meningkat,” katanya ketika ditemuramah secara langsung pada program bual bicara berbahasa Mandarin ‘Chat Time With... Najib’ di NTV7, malam tadi.

Program bual bicara selama satu setengah jam yang dikendalikan dua pengacara, Owen Yap dan Lee Siad Huey antara lain turut mengulas perkembangan dan pencapaian Najib selama tiga tahun memimpin negara khususnya dalam isu membabitkan masyarakat Cina di negara ini.

Najib berkata, dalam pada itu kerajaan juga terus berusaha memastikan perkembangan sistem pendidikan vernakular khususnya membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina terus diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan termasuk mengatasi kekurangan guru di sekolah itu dan isu mendapatkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh sekolah persendirian Cina.
Katanya, dalam konteks menerima kelayakan UEC itu, ada dua perkara pokok yang perlu dibincangkan terlebih dulu, iaitu mengenai kandungan kurikulum yang ada dalam peperiksaan berkenaan dan adakah melaluinya akan menjadikan pelajar lebih berjiwa Malaysia khususnya dalam konteks mahir dan fasih berbahasa Melayu.

Menjawab soalan mengenai dua parti komponen BN, iaitu MCA dan GERAKAN yang kini dilihat kurang menyerlah, Perdana Menteri berkata, perkara itu sebenarnya tidak ada kerana semua parti komponen memainkan peranan masing-masing.

Beliau berkata, persepsi itu berlaku disebabkan kurangnya bilangan kerusi yang diwakili parti berkenaan dalam kerajaan berbanding sebelum ini.

Najib turut mengulas beberapa isu lain yang menjadi persoalan orang ramai antaranya projek kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan; perkembangan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) termasuk 22 usul Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya yang diterima Parlimen serta tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) mengadakan bantahan aman kali ketiga - Berita Harian Online | Sokongan kaum Cina kepada BN meningkat 

Tuesday 3 April 2012

Berita Harian Online | Hala Tuju Kerajaan Jelas: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak malam tadi memperincikan pencapaian Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan membawa mesej kerajaan pimpinannya sentiasa menepati janji dan meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya. Perdana Menteri menegaskan kerajaan pimpinannya bukan kerajaan populis semberono yang tidak bertanggungjawab dan tidak sekali-kali mahu membankrapkan negara dalam merangka sebarang dasar serta membelanjakan wang

“Kita sudah dan akan sentiasa berterus-terang dengan rakyat mengenai apa kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan.

“Sebaliknya, amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa memikirkan kesannya,” katanya ketika membentangkan pencapaian GTP dan ETP yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran utama televisyen.

Berpaksikan falsafah ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang digariskan Najib selepas mengambil alih kepemimpinan negara tiga tahun lalu, tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah GTP dikenal pasti untuk dilaksanakan hasil maklum balas rakyat pada semua peringkat.

ETP pula membabitkan 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) berserta 131 Projek Permulaan Ekonomi (EPP) yang dipacu Model Baru Ekonomi (NEM) dan lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dengan meletakkan hala tuju jelas ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Selain menangani kos sara hidup dan mengurangkan jenayah, NKRA turut memfokus kepada peningkatan pencapaian pelajar, membaiki kemudahan asas luar bandar, mempertingkatkan pengangkutan awam bandar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah dan membanteras rasuah.

Perdana Menteri berkata, matlamat utama ETP dan NEM adalah mengeluarkan Malaysia daripada perangkap negara berpendapatan sederhana dan meletakkan negara di landasan betul bagi mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

“Untuk analogi, NEM dan SRI bolehlah diibarat sebagai lebuh raya, manakala ETP adalah kenderaan yang menggunakan lebuh raya membawa kita ke destinasi akhir, iaitu sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

“Dua belas NKEA di bawah ETP pula ialah bahagian enjin kepada kenderaan berkenaan dan EPP ialah bahan api yang akan menggerakkan kenderaan ini. Untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, semua komponen termasuk kenderaan, enjin, bahan api dan lebuh raya hendaklah berada dalam keadaan terbaik.

“Namun, saya ingin mengingatkan, kita juga memerlukan pemandu yang cekap supaya dapat menggabung jalinkan segala faktor yang ada bagi memastikan kenderaan tiba ke destinasinya pada masa yang ditentukan dengan selamat.

“Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang terbukti kebolehannya, di tengah-tengah jalan untuk digantikan dengan pemandu yang diragui dan berbahaya,” katanya.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali salah membuat pilihan, sebaliknya hendaklah berhati-hati dengan tukang karut melipur lara.

“Mereka ini hanya pandai berjanji tapi tidak pernah mengotainya. Mereka tidak pernah konsisten antara amalan dan retorik yang dilaungkan.

“Sesungguhnya, masa depan kita dan anak bergantung pada keputusan hari ini. Kesimpulannya, kerajaan hari ini adalah kerajaan bertanggungjawab, kerajaan beramanah dan paling penting kerajaan ini sentiasa menepati janji,” katanya.

Malah, katanya, pembentangan pencapaian GTP dan ETP jelas membuktikan sikap keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti kerajaan.

“Kerajaan ini berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah dan cabaran yang sedang dihadapi negara dan kita telah merangka pelan menyeluruh bagi menangani segala cabaran yang dikenal pasti.

“Segala prakarsa di bawah payung Dasar Transformasi Nasional dirangka dengan bersebab dan bermatlamat. Pucuk pangkalnya, kerajaan hari ini jelas mengenai hala tuju yang ingin dibawa negara, iaitu menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi,” katanya. - Berita Harian Online | Hala tuju kerajaan jelas: Najib

Teks Ucapan Penuh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak: Pencapaian GTP dan ETP bagi tahun 2011

Berikut adalah ucapan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) & Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2011 yang diadakan secara siaran langsung semalam.

Rakyat Malaysia sekalian,

1. Ceritera kejayaan Malaysia merupakan ceritera yang telah di tinta emas. Ia telah dilakar oleh sumbangan semua rakyat Malaysia dari Negeri Perlis hinggalah ke Sabah. Hakikatnya, ia hasil sumbangan warga tiga belas buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan yang walaupun dipisahkan secara fizikalnya oleh Laut Cina Selatan, namun disatukan roh dan semangatnya oleh kehendak untuk hari ini yang lebih baik daripada hari semalam dan hari esok yang penuh dengan harapan di bawah lembayung kibaran jalur gemilang.

2. Kejayaan ini hasil sumbangan usahawan kecil, sederhana dan besar yang berani mengambil risiko, ia hasil sumbangan petani, pesawah, pekebun, peladang, penternak dan nelayan yang gigih menggunakan kudrat, ia hasil sumbangan para guru, pensyarah, wartawan, karyawan dan cendekiawan yang mendidik serta memberi kesedaran, ia hasil pengorbanan anggota tentera dan polis yang setia mempertaruhkan jiwa dan raga demi keselamatan negara tercinta, ia hasil sumbangan penjawat awam, pekerja swasta, pekerja kolar putih, biru dan buruh yang merupakan roda yang menggerakkan pembangunan negara, pendek kata kejayaan nasional adalah kejayaan yang dibina semua warga Malaysia.

3. Tugas kita hari ini sebagai generasi baru Malaysia yang mewarisi watan daripada generasi terdahulu teramat berat, kita dipanggil semboyan pertiwi bagi meneruskan tugas mulia membina negara bangsa Malaysia. Kita berdiri di atas bahu para patriot negara, bahu-bahu gergasi para bapa pengasas Malaysia. Kita berhadapan dengan amanah dan cabaran bagaimana membina di atas kejayaan sedia ada di samping meneruskan proses perubahan dan pembaharuan nasional.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

4. Tiga tahun lalu, saya berdiri di hadapan tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari bagi menyampaikan ucapan sulung saya selaku Perdana Menteri Malaysia ke-6.

5. Di dalam ucapan sulung tersebut, saya telah menggariskan prinsip yang akan memandu hala tuju kerajaan pimpinan saya dalam bergerak ke hadapan, prinsip yang dimaksudkan ialah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

6. Falsafah asas yang telah saya dan rakan-rakan pilih menjadi teras kerajaan ini, ialah falsafah yang merai dan menuil kemajmukan Masyarakat Malaysia yang sedia ada. Ia menjunjung harapan mereka untuk membentuk masa hadapan yang lebih baik. Falsafah ini terbentuk hasil daripada proses merasai denyut nadi rakyat, menggarap aspirasi serta mendengar keluh kesah mereka.

7. Ia dibentuk bagi menangani tiga cabaran utama era globalisasi dan era dunia tanpa sempadan, iaitu pertama, dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk Malaysia. Kedua, bagi membentuk sistem penyampaian kerajaan yang lebih mendakap aspirasi rakyat dan ketiga, mengeluarkan Malaysia dari perangkap gejala negara berpendapatan sederhana yang telah melanda banyak negara-negara lain di dunia, di mana kadar pertumbuhan semakin perlahan dan pembangunan menjadi statik malahan dalam kes yang ekstrem ia mula menjadi regresif.

Rakyat Malaysia yang dihormati

8. Sebarang perubahan dan pembaharuan yang ingin kita bawa, wajib berasaskan premis bahawa sebagai negara yang majmuk survival kita bergantung kepada keberterusan keutuhan perpaduan nasional yang didasarkan kepada keyakinan bahawa kepelbagaian yang kita miliki merupakan sumber kekuatan bukannya kelemahan.

9. Kita perlu memanfaatkan bakat yang terbaik dari kolam bakat kebangsaan bagi membangunkan negara serta menambah kekayaan nasional tanpa mengira ras dan kepercayaan penyumbang tersebut. Perkiraan pertama dan terakhir seharusnya adakah mereka warganegara yang mampu menyumbang. Sepanjang lipatan sejarah pembangunan negara Malaysia, dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi, ia telah menyaksikan sumbangan mereka yang datang dari semua kaum dan semua kepercayaan.

10. Menjadi keyakinan yang telah saya nyatakan secara terbuka bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya, era kerajaan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir. Menginsafi hakikat ini, dalam menggubal komponen pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Program Transformasi Kerajaan atau GTP, kita telah mewujudkan makmal-makmal khusus bagi mendapat maklum balas daripada rakyat, tentang apakah yang sebenarnya menjadi urutan keutamaan mereka.

11. Hasil daripada merundingi rakyat, sebanyak 7 bidang keberhasilan utama atau NKRA telah dikenal pasti untuk dilaksanakan. Bagi memastikan pencapaian KPI di bawah NKRA ini akan mampu dicapai mengikut jadual atau lebih pantas, maka kerajaan telah mengambil keputusan untuk menggunakan strategi lautan biru kebangsaan atau “national blue ocean strategy” di dalam beberapa NKRA.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

12. Pada malam ini, genaplah 3 tahun pentadbiran saya. Saya berdiri pada malam ini bagi melaporkan pada tuan-tuan dan puan-puan apa yang telah kita capai setelah perencanaan yang rapi dan pelaksanaan yang berstrategi.

13. NKRA yang diberi keutamaan, adalah untuk menangani kos sara hidup. Kerajaan prihatin bahawa rakyat terhimpit akibat tekanan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat. Ia melanda bukan sahaja penduduk bandar, tetapi juga penduduk luar bandar. Hakikatnya, semua segmen warganegara terkesan olehnya. Bagi meringankan bebanan ini, kerajaan telah merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menanganinya.

14. Antara langkah jangka pendek bersifat “one off” yang telah dilaksanakan bagi tahun 2012 ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M, sebanyak RM 500 yang memanfaatkan hampir 4 juta isi rumah negara yang berpendapatan di bawah RM3 000.

15. Tidak cukup dengan bantuan BR1M, kerajaan juga memberikan bantuan persekolahan RM 100 untuk setiap pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini telah memanfaatkan 5.3 juta orang pelajar sekolah seluruh negara. Bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi dan Tingkatan 6 pula, mereka tidak dilupakan. Baucar buku bernilai RM200 telah disediakan yang telah memanfaatkan 1.3 juta orang pelajar. Semua bantuan ini melibatkan peruntukan hampir RM 3 bilion.

16. Kerajaan juga baru-baru ini telah mengumumkan kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus bagi 1.4 juta orang kakitangan sektor awam yang telah memanfaatkan hampir 4 juta orang rakyat Malaysia. Manakala bagi sektor swasta, saya akan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum pada akhir bulan ini.

17. Untuk langkah jangka sederhana, kerajaan telah memperkenalkan beberapa prakarsa bagi mengurangkan tekanan kos hidup antaranya Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia serta pembekuan kenaikan untuk tempoh 5 tahun harga tol di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur serta penghapusan tol di beberapa laluan seperti di Lebuh Raya Cheras- Kajang dan Lebuh Raya Connaught.

18. Untuk tempoh jangka panjang, menyedari bahawa perumahan merupakan komponen terbesar kos sara hidup, maka kerajaan telah memperkenalkan Skim Perumahan 1Malaysia atau PR1MA untuk membina perumahan mampu milik di kawasan Bandar bagi golongan pertengahan, manakala untuk golongan berpendapatan rendah skim seperti Projek Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan di tingkat giatkan lagi. Bagi perumahan kawasan luar bandar, pembinaan rumah yang mencukupi akan diterajui oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Kerajaan juga tidak melupakan perumahan bagi golongan nelayan. Bagi tahun 2012 sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan di bawah Tabung Khas Perumahan Nelayan untuk membina dan membaik pulih rumah.

19. Selain daripada semua inisiatif di atas, Kerajaan juga komited untuk meneruskan dasar subsidi yang terpilih melibatkan makanan seperti beras, gula, minyak masak dan tepung gandum, hasil petroleum termasuk minyak kereta, diesel dan gas memasak. Kerajaan juga memberikan subsidi bil elektrik bagi 1 juta isi rumah yang melibatkan bil bernilai RM20 ke bawah. Segala subsidi ini membabitkan peruntukkan sebanyak lebih RM30 bilion setahun.

20. Kerajaan yang sedia ada ialah kerajaan yang berkebajikan dan bertanggungjawab. Pengurusan ekonomi serta hasil secara berhemah telah memungkinkan lebih RM 30 bilion diperuntukkan setiap tahun untuk subsidi secara langsung bagi mengurangkan bebanan hidup rakyat serta hampir RM 3 bilion untuk berian terus bagi tahun 2012.

Rakyat Malaysia sekalian,

Keduanya, NKRA yang bermatlamat mengurangkan kadar jenayah.

21. Kerajaan telah mengambil langkah inovatif dan kreatif melalui strategi lautan biru (national blue ocean strategy) untuk meningkatkan jumlah anggota polis terutamanya di kawasan-kawasan panas. Strategi ini nyata berkesan di mana kadar jenayah jalanan telah berjaya dikurangkan sebanyak 39%, manakala jenayah keseluruhan telah berkurang sebanyak 11% semenjak tahun 2009.

22. Usaha mengurangkan kadar jenayah jalanan telah menyaksikan era baru kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia, di mana pusat-pusat latihan tentera sedia ada telah dimanfaatkan untuk melatih juga anggota-anggota polis. Kesannya, dengan kos yang minimum lebih banyak anggota polis boleh dilatih dengan kadar lebih pantas, seterusnya diatur gerak ke kawasan-kawasan yang memerlukannya. Di bawah strategi lautan biru ini juga rondaan bersama anggota polis dan tentera serta anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam yang dilatih khusus serta dikawal selia oleh pihak PDRM di laksanakan bagi tujuan pencegahan jenayah. Sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan kadar jenayah ini juga, teknologi inovatif dan moden seperti pemasangan CCTV akan di tingkat luaskan.

Ketiga, NKRA yang bermatlamat meningkatkan pencapaian pelajar.

23. Buat pertama kalinya dalam sejarah Negara, pendidikan peringkat rendah dan menengah adalah percuma. Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang besar setiap tahun untuk bidang pendidikan. Hasilnya, 77% daripada anak-anak kita telah mendapat peluang mengikuti pembelajaran peringkat pra-sekolah berbanding 67%, 2 tahun yang lalu. Kerajaan menyedari anak-anak ialah permata Negara. Pendidikan seawal mungkin akan menjamin mereka mendapat kelebihan persaingan dalam kehidupan masa depan.

24. Kerajaan juga menyedari peri pentingnya peranan guru dalam memastikan sistem pendidikan yang berkualiti. Menyedari hakikat itu, saya telah pun mengumumkan laluan karier perguruan yang lebih baik berasaskan sistem kenaikan pangkat “time based” dalam Bajet 2012 dan mengumumkan jaminan penerusan komitmen tersebut dalam ucapan saya kepada anggota perkhidmatan awam baru-baru ini.

Keempat, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar.

25. Kerajaan tidak pernah melupakan penduduk luar Bandar. Keprihatinan kerajaan ini terbukti apabila pada Tahun 1959 Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah ditubuhkan. Semenjak 3 tahun yang lalu, usaha untuk mempertingkatkan kemudahan asas luar bandar telah diberikan nafas baru dengan penekanan ke Negeri Sabah dan Sarawak.

26. Setakat ini, hampir 1000 kilometer jalan luar Bandar telah dibina. Dalam sejarah negara, ini merupakan jumlah kilometer jalan terpanjang yang pernah dibina dalam tempoh 2 tahun. Sebagai perbandingan, panjangnya melebihi Lebuh Raya Utara-Selatan sedia ada. Menggunakan strategi lautan biru, Angkatan Tentera Malaysia melalui Projek Jiwa Murni telah membantu dalam pembinaan jalan-jalan luar Bandar ini. Contohnya, Long Lopeng ke Ba’kelalan, Kuala Medalam ke Medamit, Limbang dan Kampung Saeh, Bekenu, Miri.

27. Semenjak pelaksanaan NKRA ini tiga tahun yang lalu, sebanyak 27 ribu lagi isi rumah luar bandar mendapat nikmat bekalan elektrik dan lebih 70 ribu lagi isi rumah pula mendapat bekalan air yang bersih. Hasil langkah-langkah ini telah meningkatkan akses rakyat Malaysia kepada air bersih. Bagi negeri Sabah peningkatan melibatkan 8% membabitkan lebih 150 ribu penduduk. Bagi negeri Sarawak, peningkatan ialah sebanyak 5.3% yang membabitkan lebih 100 ribu penduduk. Manakala bagi negeri-negeri di Semenanjung, peningkatan ialah sebanyak 3.6% yang membabitkan lebih 250 ribu penduduk. Bagi bekalan elektrik pula, negeri Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 6.8% dan 6.2%,  yang memanfaatkan lebih daripada 230 ribu penduduk.

28. Bagi merancakkan lagi pembangunan luar Bandar, Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar sebagai sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional. Di bawah program ini, Pusat- Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) telah dan bakal didirikan. Pusat RTC pertama telah dilancarkan di Gopeng, Perak. Manakala RTC yang berikutnya akan dilancarkan di Kota Bharu dan beberapa buah lokasi yang telah dikenal pasti.

Rakyat Malaysia yang dihormati,

Kelima, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan pengangkutan awam bandar.

29. Bagi meningkat kualiti kehidupan rakyat terutama di kawasan bandar, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek besar pengangkutan awam. Projek paling utama ialah projek MRT yang merupakan projek pengangkutan awam bandar jangka panjang yang paling komprehensif dalam sejarah pengangkutan awam negara. Fasa pertama projek ini dijangka siap dalam tempoh 5 tahun akan datang.

30. Sementara itu, kerajaan telah pun mengambil tindakan untuk meningkatkan sistem pengangkutan LRT dengan penambahan dari gerabak 2 koc kepada gerabak 4 koc, dan pemanjangan kedua-dua laluan Kelana Jaya dan Ampang Jaya. Pemanjangan kedua-dua laluan ini dijangka akan memanfaatkan lebih 500 ribu pengguna sehari semasa waktu puncak.

31. Bagi perkhidmatan komuter KTM pula, koc-koc baru telah pun dibeli dan akan diperoleh secara berperingkat. Ini akan meningkatkan mutu dan keselesaan perkhidmatan komuter. Langkah-langkah ini dijangka akan meningkatkan keselesaan kepada hampir 100 ribu pengguna harian. KTM juga kini dalam proses mempersiapkan laluan berkembar dan proses elektrifikasi laluan Ipoh-Padang Besar.

32. Di bawah NKRA ini juga, Kerajaan telah memperkenalkan Bas Ekspresway Transit (BET) yang telah memanfaatkan 370 ribu orang pengguna setiap hari.

Keenam, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah.

33. Perang terhadap kemiskinan telah dilancarkan secara sistematik dan berterusan semenjak kemerdekaan lagi. Ia dilaksanakan secara lebih saintifik bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990). Matlamat kedua DEB adalah untuk mengurangkan dan seterusnya membasmi kemiskinan. Alhamdulillah, kita telah berjaya membasmi kemiskinan tegar apabila kita telah mengeluarkan lebih 44 ribu isi rumah daripada kategori tersebut. Namun, kita tetap waspada terhadap kes-kes baru yang mungkin berlaku.

34. Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif, seumpama akhiri zaman miskin atau 1AZAM yang telah memberi nikmat kepada lebih 47 ribu isi rumah yang melibatkan perbelanjaan lebih RM 500 juta. Manakala di bawah program Kebajikan Rakyat 1 Malaysia atau KAR1SMA pula sebanyak RM 1.4 Bilion diperuntukkan setiap tahun kepada 500 ribu penerima bantuan kebajikan masyarakat seluruh negara.

Ketujuh, NKRA yang bermatlamat membanteras rasuah.

35. Kerajaan komited bagi membanteras gejala rasuah. Jenayah rasuah adalah ibarat barah kepada kelangsungan dan pembangunan negara. Ia mampu memusnahkan keharmonian rakyat. Kerajaan tidak pernah pilih kasih dalam usaha memerangi rasuah. Tidak timbul soal bahawa tindakan hanya akan diambil terhadap “ikan bilis” manakala “ikan jerung” akan dibiarkan terlepas bebas. Sehingga akhir 2011, sebanyak 900 pesalah rasuah telah disabitkan kesalahan. Kerajaan telah pun menubuhkan mahkamah khas bagi mempercepatkan perbicaraan kes-kes rasuah. Manakala badan penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditingkat upaya dengan secukupnya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

36. Selain GTP yang telah diperkenalkan pada Tahun 2009, kerajaan juga pada Tahun 2010 telah memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bersama-sama 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) serta 131 Projek Permulaan Ekonomi (EPP). Melengkapinya ialah Model Baru Ekonomi (NEM) serta 6 Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI).

37. Matlamat utama ETP dan NEM adalah untuk mengeluarkan Malaysia dari perangkap negara berpendapatan sederhana dan meletakkan negara di landasan yang betul, bagi mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

38. Untuk analogi, NEM dan SRI bolehlah diibaratkan sebagai lebuhraya. Manakala ETP merupakan kenderaan yang akan menggunakan lebuhraya membawa kita ke destinasi akhir, iaitu sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 12 NKEA di bawah ETP ialah bahagian-bahagian enjin kepada kenderaan tersebut. Manakala EPP ialah bahan api atau “fuel” yang akan menggerakkan kenderaan ini. Untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, kesemua komponen termasuk kenderaan, enjin, bahan api dan lebuhraya hendaklah berada dalam keadaan yang terbaik.

39. Perubahan dan pembaharuan yang kita lakukan melalui inisiatif ETP dan NEM sepanjang 2 tahun yang lalu telah menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan. Contohnya, laporan World Economic Forum bagi Tahun 2012 telah menyaksikan Malaysia naik 5 anak tangga dalam senarai daya saing ekonomi dunia berbanding tahun sebelumnya. Malaysia hari ini adalah antara 21 buah negara paling kompetitif ekonominya di dunia. Manakala, Bank Dunia di dalam laporannya “Doing Business 2012” pula telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-18 paling mudah memulakan atau menjalankan urus niaga. Kita telah memintas negara-negara yang maju seperti Jerman, Jepun, Taiwan dan Perancis. Syarikat perunding A.T Kearney juga telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing bagi Tahun 2012.

40. Semasa ETP dilancarkan 2 tahun lalu, pendapatan perkapita negara adalah USD 6 700. Hari ini, ia telah meningkat kepada USD 9 700. Manakala data 2011 menunjukkan pencapaian tertinggi KDNK atau GDP serta PNK atau GNI negara semenjak merdeka. Angka KDNK telah mencecah RM 852. 7 bilion manakala PNK pula RM830.7 bilion. Pencapaian ini telah membolehkan kerajaan mengutip jumlah hasil tertinggi dalam sejarah pasca merdeka iaitu RM 185.54 bilion membolehkan pelbagai inisiatif dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di samping langkah-langkah di ambil bagi membaiki kedudukan fiskal kerajaan. Terbukti apa yang telah dicapai dalam kerangka waktu ini, menunjukkan kita berada di trajektori yang betul untuk mencapai pendapatan perkapita USD 15 000 pada tahun 2020.

41. Sejak pelancaran ETP pada 2010, sehingga akhir 2011, pelaburan langsung asing telah meningkat sebanyak 12.3% kepada RM33 bilion. Manakala pelaburan swasta pula telah menunjukkan peningkatan sebanyak 19% kepada RM94 bilion. Sebanyak 313 ribu peluang pekerjaan baru dijangka dapat dicipta daripada keseluruhan RM179 bilion nilai pelaburan yang telah diumumkan di bawah ETP. Sebanyak RM129 bilion pendapatan negara kasar pula dijangka dapat dijana menjelang Tahun 2020.

42. Bagi menambah kukuh kewibawaan dan keutuhan perancangan hasil pelaksanaan program-program transformasi kerajaan khususnya GTP dan ETP, satu prosedur dijalankan oleh firma antarabangsa Price Waterhouse Coopers, dengan disemak oleh sebuah Panel Antarabangsa yang dianggotai oleh pakar-pakar berwibawa antaranya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, serta Korea Selatan.

Rakyat Malaysia Sekalian,

43. Segala yang saya telah bentangkan sebentar tadi adalah bukti jelas sikap keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti kerajaan yang ada. Kerajaan ini telah berterus terang dengan rakyat Malaysia tentang apakah masalah dan cabaran yang sedang di hadapi negara, dan kita telah merangka pelan menyeluruh bagi menangani segala cabaran yang dikenalpasti.

44. Segala prakarsa di bawah payung Dasar Transformasi Nasional telah dirangka dengan bersebab dan bermatlamat. Pucuk pangkalnya, Kerajaan hari ini jelas tentang ke arah mana hala tuju yang ingin di bawa negara, iaitu menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

45. Kita dambakan sebuah negara yang memiliki prasarana asas yang moden yang dapat dinikmati semua warga Malaysia sama ada di pedalaman, luar bandar, pinggir bandar mahupun di bandar. Kita impikan sebuah negara di mana persekitarannya sejahtera dari jenayah, alam sekitarnya bersih dan sistem pengangkutan awamnya cekap. Kita menginginkan sebuah negara di mana jalan rayanya selamat, bekalan airnya bersih, bekalan elektrik, akses kepada internet jalur lebar, perkhidmatan kesihatan dan pendidikannya adalah yang terbaik. Kita mahukan sebuah negara di mana pekerjanya terutamanya generasi muda mendapat peluang pekerjaan yang upahnya setimpal, di mana gaji minimum akan berada di atas paras kemiskinan, serta semakin tinggi kemahiran yang dimiliki maka semakin tinggi pula ganjarannya.

46. Kerajaan hari ini tidak takut untuk bersaing dalam gelanggang yang demokratik. Bukankah kerajaan ini yang memansuhkan I.S.A., Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 perisytiharan darurat, menggubal Akta Perhimpunan Aman bagi melindungi hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Selanjutnya meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi mengiktiraf hak perlembagaan pelajar untuk menganggotai parti politik, serta meminda Akta Pelesenan dan Mesin Cetak bagi menghapuskan keperluan pembaharuan lesen tahunan penerbitan.

47. Hakikatnya, kerajaan hari ini dipilih secara demokratik di dalam pilihanraya umum yang bebas dan adil. Oleh itu, kita tidak sekali-kali takut mahupun gentar bersaing dalam pasaran idea yang bebas dan kompetitif. Kita mempunyai penuh keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat Malaysia memilih dan meneraca. Mereka tahu menilai yang mana intan yang mana kaca. Kita percaya rakyat akan memilih kerajaan yang mempunyai “track record” yang meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya.

48. Kerajaan yang saya pimpin bukan kerajaan populis semberono yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan ini di dalam merangka sebarang dasar, di dalam membelanjakan wang negara tidak akan sekali-kali meranap mahu membangkrapkan negara. Kita telah dan akan sentiasa berterus terang dengan rakyat tentang apa yang kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan, sebaliknya amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa memikirkan kesannya.

49. Perjalanan nasional ke arah cita-cita kebangsaan sebuah negara maju hanya tinggal 8 tahun lagi untuk dicapai. Seperti yang saya analogikan sebentar tadi, untuk menuju matlamat nasional kita memerlukan kenderaan yang berprestasi tinggi, komponen enjin yang berkualiti, bahan api mencukupi, destinasi yang jelas dan lebuh raya terbaik. Namun, saya ingin mengingatkan, kita juga memerlukan kepada pemandu yang cekap supaya dapat menggabung jalinkan segala faktor yang ada bagi memastikan kenderaan tiba ke destinasinya pada masa yang ditentukan dengan selamat. Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang telah terbukti kebolehannya, di tengah-tengah jalan, untuk digantikan dengan pemandu yang diragui dan berbahaya.

50. Oleh yang demikian, jangan sesekali kita salah membuat pilihan. Berhati-hatilah dengan tukang karut yang melipur lara. Mereka ini hanya pandai berjanji tapi tidak pernah mengotainya. Mereka tidak pernah konsisten antara amalan dan retorik yang dilaungkan. Makanya, berwaspadalah dengan alunan muzik oleh peniup seruling yang tampak indah tapi penuh dengan persona dan perdaya.

Rakyat yang dikasihi

51. Sesungguhnya, masa depan kita dan anak-anak kita bergantung kepada keputusan hari ini. Kesimpulannya, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan yang beramanah dan paling penting kerajaan ini sentiasa menepati janji.